Wednesday 22 April 2015

Hoki Terbang

Permainan Hoki Terbang merupakan sejenis permainan yang lasak. Oleh itu, ia hanya sesuai dimainkan oleh kanak-kanak lelaki. Namun begitu, tidak menjadi kesalahan jika dimainkan oleh kanak-kanak perempuan. Permainan ini dimainkan secara berpasukan. Alatan yang digunakan boleh direka oleh pemain sendiri tanpa mengeluarkan belanja. Permainan ini boleh menyihatkan pemain kerana pemain perlu menggunakan tenaga yang banyak. Melalui permainan ini juga kanak-kanak dilatih bekerjasama antara satu sama lain. Ini merupakan suatu nilai yang amat baik. Cubalah adik-adik bermain permainan ini.

Peralatan

Dua batang kayu sebesar batang penyapu berukuran setengah meter setiap satu. Satu gelung rotan bergaris pusat 10 sentimetre (gelung boleh juga dibuat dengan menggunakan akar atau wayar).


Pemain

Setiap satu permainan atau pertandingan, dua pasukan diperlukan. Setiap pasukan memerlukan seramai enam orang pemain termasuk penjaga gol dan penepis.


Langkah-Langkah

  1. Undian perlu dijalankan untuk membahagikan pemain kepada dua pasukan. Undian ini boleh dilakukan secara Berbisik atau mengikut cara yang dipersetujui pemain.
  2. Setelah pembahagian pasukan selesai, undian untuk menentukan pasukan yang memulakan permainan dijalankan oleh ketua pasukan masing-masing. 
  3. Setelah kedua-dua undian dilakukan, setiap pasukan perlu mengambil tempat atau kedudukan masing-masing.
  4. Kedudukan kedua-dua pasukan (tempat) ditentukan mengikut undian yang dilakukan. 
  5. Penjaga gol kumpulan akan berada bersetentangan dengan pemain.
  6. Penepis akan bertindak menepis gelung rotan yang cuba disampaikan kepada penjaga gol pihak lawan.Penepis akan sentiasa berjaga-jaga di hadapan gol lawan. 
  7. Permainan dimulakan apabila isyarat mula diberikan. Salah seorang daripada pemain kumpulan yang memulakan permainan akan melambung, melontar atau membaling gelung rotan yang dipegang kepada rakannya.
  8. Pihak lawan akan cuba mendapatkan gelung rotan tersebut. Dalam permainan ini pergerakan gelung rotan akan bersilih ganti tangan yang memegangnya.
  9. Untuk menjaringkan gol, pemain perlu melontar, melambung atau membaling gelung rotan ke arah penjaga gol sendiri.
  10. Penjaga gol perlu memastikan gelung rotan tersebut masuk ke dalam kayu yang dipegang ketika gelung rotan masih berada di udara.
  11. Penepis pihak lawan perlu seberapa daya memastikan penjaga gol gagal memasukkan gelung ke dalam kayu untuk mendapatkan mata.
  12. Jika gol dapat dilakukan, permainan dimulakan semula dengan cara yang sama.
  13. Permainan dihentikan setelah masa yang diberikan tamat. 

Peraturan Permainan

  1. Untuk mengadakan pertandingan, dua pasukan diperlukan.
  2. Ketika membuat balingan, lontaran atau lambungan pemain tersebut tidak boleh bergerak.
  3. Pemain yang menghalang balingan, lontaran atau lambangan pihak lawan mesti berada dalam jarak tidak kurang daripada tiga langkah.
  4. Menolak atau menghalang pergerakan pihak lawan dengan sengaja akan dikira sebagai satu kesalahan.
  5. Pihak lawan akan membuat balingan ke dalam sekiranya gelung rotan yang dibaling, dilontar atau dilambung keluar dari kawasan permainan. 
  6. Penepis tidak boleh memasuki kawasan gol.
  7. Penepis juga boleh menjaringkan gol atau meninggalkan kawasannya.
  8. Penjaga  gol tidak boleh keluar dari kawasan gol.
  9. Penjaga gol hanya boleh memasukkan gelung rotan ke dalam kayu tanpa menggunakan tangan.
  10. Permainan diadakan secara timbal balik.
  11. Permainan dihentikan setelah masa yang diperuntukkan dipersetujui. Masa permainan terpulang kepada pemain-pemain.

Cara Menentukan Kemenangan

Setelah masa yang diperuntukkan tamat, kumpulan pemain yang banyak membuat jaringan atau memungut mata akan dikira sebagai pemenang. 







No comments:

Post a Comment